Soal Jawab Bab 5 Tingkatan 4 (1)

Namakan tiga golongan Yahudi dan dua golongan Arab yang tinggal di Madinah.
Jawapan:
Bani Quraizah, Bani Qunaiqa' dan Bani Nadhir dan dua golongan Arab ialah suku Aus dan Khazraj. (ms 118)

Mengapakah keadaan di Madinah kurang aman sebelum penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w?
Jawapan:
Pergeseran berlaku di kalangan suku Arab dan penguasaan ekonomi oleh orang Yahudi. (ms 118)

Apakah isi Perjanjian Aqabah I?
Jawapan:
a) Suku Aus dan Khazraj beriman kepada Allah dan Rasul.
b) Membantu perjuangan Nabi Muhammad s.a.w
c) Tidak melakukan amalan jahiliyah seperti mencuri, meminum arak dan membunuh bayi perempuan. (ms 118)

Nyatakan isi Perjanjian Aqabah II?
Jawapan:
Suku Aus dan Khazraj yang memeluk Islam mengukuhkan lagi taat setia kepada Nabi Muhammad s.a.w. Mereka menjemput Nabi Muhammad s.a.w. dan orang Islam Makkah berhijrah ke Madinah. Mereka secara sukarela akan menyediakan tempat tinggal dan menjanjikan keselamatan untuk baginda dan orang Islam dan menyatakan kesediaan mempertahankan Islam. (ms 119)

Namakan pendakwah Islam yang dihantar ke Madinah selepas perjanjian Aqabah I?
Jawapan:
Nabi Muhammad s.a.w. menghantar pendakwah Islam, Mus'ab bin Umair ke Madinah untuk menyebarkan Islam. (ms 118)

Apakah kesan Perjanjian Aqabah Pertama dan Perjanjian Aqabah Kedua yang dimeterai oleh NabiMuhammad s.a.w. dan orang Madinah?
Jawapan:
Islam tersebar ke Madinah dan berlakunya penghijrahan orang-orang Islam Makkah ke Madinah. (ms 119)

Hijrah berlaku pada 1 Rabiulawal bersamaan 12 September 622M.Bagaimana penghijrahan ini berlaku?
Jawapan:
Secara rahsia dan berperingkat-peringkat. Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah bersama Abu Bakar al-Siddiq selepas penghijrahan orang Islam yang lain. (ms 119)

Bagaimanakah cara penghijrahan Umar al-Khattab ke Madinah.
Jawapan:
Umar al-Khattab berhijrah secara sendirian dan terang-terangan. (ms 119)

Apakah maksud hijrah dalam konteks Islam?
Jawapan:
a) Hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari Kota Makkah ke Madinah. b) Hijrah merupakan usaha memperkukuhkan Islam dan strategi baru untuk menyebarkan Islam.
c) Hijrah juga merupakan perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan meninggalkan keburukan atau kejahatan.
d) Hijrah boleh dilambangkan dengan semangat ingin berubah dalam pelbagai keadaan. (ms 119)

Nyatakan pendapat yang boleh menyangkal hijrah sebagai "lari" sebagaimana pandangan Orentalis Barat.
Jawapan:
a) Penghijrahan orang Islam Makkah ke Madinah adalah kerana jemputan orang Madinah seperti yang tercatat dalam Perjanjian Aqabah II.
b) Ketibaan orang Islam Makkah ke Madinah disambut dengan rela dan meriah oleh orang Madinah.
c) Orang Islam Makkah diberi tempat tinggal yang sewajarnya selain dijamin keselamatan mereka oleh orang Madinah.
d) Nabi Muhammad s.a.w. dilantik sebagai pemimpin Madinah malahan baginda diterima oleh kesemua golongan masyarakat Madinah termasuk orang bukan Islam. (ms 119)